Pages

Saturday, 18 February 2012

LAHIRNYA NABI MUHAMMAD S.A.W



Kelahiran Nabi Muhammad SAW menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa. Siti Aminah tidak berasa sakit semasa melahirkan anaknya. Biasanya, bayi yang baru lahir sudah tentu menangis, tetapi Nabi Muhammad SAW tidak menangis, dia diam sahaja. Keadaannya seperti orang berfikir. Matanya bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu. Kemudian dia bersin. Aminah pula berasa sangat gembira selepas melahirkan Muhammad bagaikan mendapat harta yang banyak.

“Pada malam Aminah melahirkan bayinya, saya berada di halaman rumahnya. Saya lihat rumah itu bermandikan cahaya. Bintang-bintang seperti sangat dekat, hingga saya bimbang sekiranya bintang itu jatuh di atas kepala saya,” kata Fatimah al-Thaqfiyah, jiran yang juga sahabat baik Aminah. 

Menurut Fatimah al-Thaqfiyah lagi, apabila dia masuk ke dalam rumah Aminah, dilihatnya keadaan dalam rumah itu juga terang benderang. Dia hairan melihat Muhammad. Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi Muhammad lahir dalam keadaan tertiarap, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu, matanya juga merenung ke langit, seolah-olah ada benda yang dipandangnya. 

Kisah keganjilan Muhammad itu menarik perhatian jiran tetangga. Mereka datang ke rumah Aminah bagi melihat bayi yang dikatakan luar biasa itu. Akhirnya orang ramai tidak putus-putus mengunjungi rumah Aminah. Keadaan rumah itu juga tiba-tiba sahaja berubah. Rumah yang tidak bermaya selama ini, tiba-tiba sahaja berseri-seri dipandang serta menjadi tumpuan orang ramai.

Pada waktu malam pula, rumah itu terang benderang seperti sedang diterangi bulan purnama sedangkan ketika itu bulan tidak terbit. Kaum wanita pula amat suka melihat wajah bayi yang baru dilahirkan Aminah. Mereka terpesona kerana seolah-olah ada satu tarikan pada tubuh Muhammad. 

(Petikan dari Novel HIJRAH)-Abdul Latip

No comments:

Post a Comment