Pages

Saturday 3 March 2012

IKHLAS DAN BAHAYA RIAK DALAM IBADAH

Imam Ghazali berkata: “Bahaya riya’ itu mempunyai dua noda dan dua musibah”.

Adapun dua noda itu adalah:

1.Noda rahsia, ialah didakwa oleh Allah depan para malaikat, maka terbongkarlah rahsianya. Sebagaimana diriwayatkan bahawa malaikat itu naik ke langit membawa amalan si hamba dengan riang gembira. Tapi firman Allah Taala yang bermaksud “Lemparlah amalan itu ke Neraka Sijjin; salahnya mereka sendiri kerana tidak Lillahi taala. Maka dengan demikian terbongkarlah rahsianya dan tercemarlah si hamba tersebut dalam pandangan para malaikat.

2.Cemar secara terang-terangan pada hari Kiamat nanti di depan semua makhluk. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Orang yang suka bersifat riya’, kelak dihari Kiamat dipanggil dengan empat gelaran; mari ke sini wahai si kafir, mari ke sini wahai si penjahat, mari ke sini wahai pengkhianat, mari ke sini wahai orang yang rugi!!! Amalan sesat, pahalamu batal, tidak ada bahagianmu di saat ini. Sekarang mintalah pahalanya kepada orang yang menyebabkan berlakunya riya’ itu. Penipu kau”, dan diriwayatkan lagi bahawa kelak di hari Kiamat ada yang menyeru dengan keras sehingga terdengar oleh semuanya “Manakah yang suka menyembah kepada manusia. Ayuh, bangunlah kamu semuanya. Ambillah pahalanya dari orang yang amalmu untuknya sebab aku (Allah) ini tidak akan menerima amal yang dicampuri apa pun”.

Adapun mengenai dua musibah itu ialah:

1.Tidak mendapat syurga. Orang yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud “Sesungguhnya syurga telah berbicara. Dan kata syurga; aku ini haram untuk orang yang kikir dan riya’”. Hadis ini mengandungi dua maksud:
Pertama yang dimaksudkan ialah kikir dalam ucapan. Iaitu tidak mahu mengucapkan ucapan yang sebaik-baiknya dan sesungguhnya riya’ yang buruk adalah riya’ munafik akan iman dan tauhidnya. Maksud yang kedua apabila mereka itu tidak berhenti-henti daripada bersifat riya’ atau kikir.

2.Adapun musibah yang kedua mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Berkata sayyidina Abdullah bin Abbas: “saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, sesungguhnya neraka dan penghuni ahli neraka menjerit-jerit dalam menghadapi tukang-tukang riya’.

Makna riya’ :-
Mereka yang ingin memperolehi kemanfaatan dunia dengan jalan melakukan ibadah, dan riya’ ini terbahagi kepada dua iaitu riya’ yang khusus dan riya’ yang bercampur. Adapun yang dikatakan riya’ yang khusus itu ialah mereka yang mahukan keuntungan dunia tanpa bercampur akhirat dan yang dikatakan riya’ yang bercampur itu ialah mereka yang mahukan akan kedua-duanya sekali iaitu dunia dan akhirat contohnya dengan melakukan ibadah solat dan ia mahu dipuji dari orang lain dengan besertakan pahala di akhirat. 

Dalam kalam ulamak ada mengatakan apabila seseorang hamba yang bertaqarub kepada Allah beserta ibadah batinnya itu dan ia mahukan juga kemanfaatan dunia, maka ini juga termasuk kepada mereka yang riya’ walaupun orang ramai tidak dapat melihatnya. Contohnya: Aku ini akan membuat jujur, setia, ikhlas mudah-mudahan aku akan hidup senang di dunia dan dikasihi oleh orang lain serta dapat kedudukan yang tinggi. Jika ditanya; apakah tiap-tiap amal memerlukan ikhlas yang khusus untuk beramal?

Dalam hal ini, ulama’ telah berselisih pendapat: Ada yang mengatakan wajib bagi setiap amal itu disertai dengan ikhlas.

Ada yang mengatakan boleh sahaja melakukan sesuatu ikhlas untuk sejumlah ibadah. Contohnya: dalam sembahyang kita berniat lillahi taala, maka yang lainnya seperti sujud, ruku’ dan lain-lain termasuk dengan adanya niat tadi.

Adapun amal-amal yang mempunyai rukun-rukun fardhu seperti solat, wuduk dan lain-lain, maka cukup baginya satu ikhlas, sebab semuanya itu saling kait mengait, tidak boleh dipisahkan.apabila rosak satu, maka rosaklah kesemuanya. Jika ditanya lagi: Apabila seseorang itu berbuat baik kerana ingin kemanfaatan dunia dengan memohon kepada Allah, dia tidak mahu sedikit pun dari yang lain seperti pujian atau sebagainya tapi semuanya itu ingin dari Allah. Apakah itu termasuk riya’.
Jawapannya: Ya… itu penuh dengan riya’. Seorang ulama’ telah berkata: Yang dianggap riya’ itu tergantung kepada apa yang diinginkannya, bukanlah tergantung kepada siapa dia memohon. Apabila yang dimaksudkan oleh seseorang melakukan ibadah atau amal yang baik itu manfaat dunia, sekalipun dia meminta kepada Allah maka ia tidak termasuk dalam riya’; samada mengharapnya itu dari Allah atau dari manusia.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Barangsiap yang menghendaki ganjaran di akhirat, maka akan di tambah ganjarannya itu. Dan barangsiapa menginginkannya di dunia, maka akan diberi tetapi di akhirat dia tidak mendapat nasib”.

Dan jika ditanya: Bagaimanakah seandainya yang dimaksudkan dengan meminta kemanfaatan dunia itu supaya ta’affuf, jangan sampai mengemis kepada orang lain dan dengan maksud untuk bekal ibadah, bukan dengan maksud-maksud lain?

Dalam soal ta’affuf itu, tidak bererti bahawa kita harus kaya atau besar pengaruh. Ta’affuf itu ada padanya Qana’ah (berpada dengan apa yang ada) dan percaya kepada tanggungan Allah. Adapun urusan untuk bekal ibadah seperti; aku makan untuk bekal ibadah ataupun aku tidur supaya sihat badanku untuk bekal ibadah. Apabila maksudnya itu betul-betul untuk bekal ibadah, maka ini bukan termasuk riya’, kerana hal itu ada hubungannya dengan urusan akhirat, maka yang demikiannya itu iradat tersebut tidak termasuk dalam riya’ kerana semua urusan dengan niat itu akan menjadi baik dan hukumnya termasuk ke dalam amal akhirat. Dari itu, kita sebagai umat Islam marilah sama-sama menjadikan Qana’ah dan zuhud itu sepenuhnya dalam kehidupan seharian kerana dikhuatiri dengan kekayaan itu akan timbulnya istidraj dan musibah yang akan Allah timpakan kepada kita dan jadikanlah segala amalan yang kita lakukan itu adalah semata-mata kerana Allah S.W.T..

wallahu’alam

sumber : mymunif.com


No comments:

Post a Comment