Pages

Monday, 13 February 2012

DALIL PERINTAH TUTUP AURAT


Hendaklah mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Surah Al-Ahzab,33:59)

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka. (Surah An-Nur,24:31)

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. (Surah Al-A’raaf7:26)

Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata: Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya. (Hadith Riwayat Imam Abu Daud)

Ummu Salamah pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Rasulullah s.a.w menjawab: Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya. (Hadith Riwayat Imam Abu Daud)

DAPAT SAHAM DOSA DAN TAK MAHU MASUK SYURGA:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk (maksiat), maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w bersabda: Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan? Baginda menjawab: Barangsiapa yang taat kepadaku, dia masuk syurga dan barangsiapa yang melanggar perintahku, dia telah enggan. (Hadith Riwayat Imam Bukhari)

BALASAN BAGI MEREKA YANG MENDEDAHKAN AURAT:
Rasulullah s.a.w bersabda: Golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat, yakni perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang (nipis, ketat, seksi), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, kepala mereka seakan-akan bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

TIDAK TAAT KEPADA ALLAH KERANA MENGIKUT ORANG KAFIR:
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada ketaatan kepada siapa pun dalam maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara yang baik menurut syariat. (Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Rasulullah s.a.w menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

KESIMPULAN: Menutup aurat itu wajib. Aurat wanita adalah keseluruhan tubuhnya (dari hujung rambut sehingga hujung kaki) kecuali wajah dan pergelangan tangannya. Wanita Islam wajib melabuhkan tudungnya menutupi dada serta menutup aurat kaki. Wanita Islam dilarang memakai pakaian nipis, ketat, jarang, seksi dan tabarruj (berhias berlebihan).

“Sentiasalah ingat bahawa kematian akan datang bila-bila masa sahaja dari sekarang. Oleh itu segeralah bertaubat dan mula meninggalkan maksiat yang menjerumuskan diri sendiri dan orang lain ke Neraka serta banyakkan membuat amal soleh. Hanya amal soleh sahaja yang akan membantu kita di akhirat kelak.”


No comments:

Post a Comment