Pages

Wednesday, 16 May 2012

RAMAI LUPA KELEBIHAN HERBA DALAM KESIHATAN


PULAU PINANG – Herba memainkan peranan penting dalam kehidupan harian sebagai ramuan, ubatan tradisional dan mencegah penyakit, dakwa Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris.

Malah, dakwnya, sesetengah herba boleh digunakan sebagai ubatan, pembersih udara, sayuran, aroma dan juga hiasan tetapi kebanyakan masyarakat telah lupa akan nilai tumbuhan herba tersebut.

Sebagai contoh, dakwa beliau, tumbuhan herba yang dianggap sesetengah orang sebagai rumpai seperti dukung anak sebenarnya mempunyai kesan anti virus dan bakteria.

“Ekstrak tumbuhan ini boleh menguatkan hati manakala jus daun segar digunakan untuk mengubat luka dan calar manakala ekstrak daunnya juga digunakan untuk merawat demam kuning, hepatitis dan sirosis hati.

“Tumbuhan seperti misai kucing pula sudah lama dipercayai boleh mengubati masalah buah pinggang, batu karang, jangkitan saluran kencing, hati, jangkitan pundi kencing, diabetes dan reumatisme.

“Ia juga digunakan untuk menurunkan paras kolesterol dan tekanan darah. Teh daripada daunnya mempunyai kesan diuretik yang merangsang pengeluaran air kencing,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya pada Karnival Ke Arah Kehijauan CAP 2011 bertema Peliharalah Alam Semula Jadi Untuk Menjamin Masa Depan Kita di sini.

S.M. Mohamed seterusnya berkata, herba hempedu bumi pula boleh digunakan oleh ramai orang untuk menyembuhkan sakit tekak, demam dan selesema.

Dakwanya, tumbuhan yang amat pahit itu dapat meningkatkan sistem imun, mencegah darah beku, mengekalkan sistem penghadaman yang baik dan mampu mencegah kanser.

Manakala, katanya, tumbuhan hiasan seperti daun lidah buaya (aloe vera) juga amat baik untuk kulit dan mampu menyembuhkan luka, ulser dan kesan melecur.

Selain itu, katanya, pokok bunga raya yang biasanya terdapat di halaman rumah kita juga digunakan untuk merawat masalah gangguan kencing, keguguran rambut dan sakit ketika haid.

Jelasnya, Serai yang biasa digunakan dalam penyediaan teh, sup dan kari mempunyai nilai anti-bakteria dan anti-kulat. Ia membantu menyahkan toksik di dalam hati, pankreas, buah pinggang, pundi kencing dan saluran penghadaman.

Tambahnya. Serai juga antara lain dapat memperbaiki peredaran darah, melegakan sendawa dan kembung, mengurangkan asid urik dan kolesterol.

Sehubungan itu, katanya, CAP menerbitkan buku panduan untuk mengembalikan semula pengetahuan tradisional mengenai herba dan menggalakkan pengguna menggunakan herba dalam kehidupan harian mereka bagi mengekalkan kesihatan yang baik.

Katanya, buku kecil CAP bertajuk “Herba & Kesihatan” itu memberikan panduan mengenai nilai perubatan 20 jenis tumbuhan herba yang biasa digunakan, cara persediaannya, kaedah menanam, resipi dan cadangan penggunaan.

“Namun mengambil herba sahaja tidak menjamin kesihatan yang baik. Diet seimbang, tidur mencukupi, melakukan senaman dan mendapat rehat yang mencukupi sama pentingnya untuk kehidupan yang sihat dan herba juga tidak memberikan penyembuhan segera dan perlu diambil dengan sederhana,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment