Pages

Thursday, 17 May 2012

CARA MENGATASI TEKANAN PERASAAN


Tips bagi mengatasi tekanan perasaan

Tips mudah yang boleh diamalkan untuk mengatasi tekanan dengan bijak :

1. Bawa-bawalah bertenang

Bila kita menyarankan seseorang supaya bertenang apabila dia marah, sedih dan sebagainya, pernahkah kita terfikir untuk mengajak atau mengajar cara-cara untuk memenangkan diri? Apa yang selalu saya praktikkan bila saya mahu bertenang menenangkan diri sendiri, saya akan tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9 saat, dan lepaskan perlahan-lahan juga sekitar 7-9 saat. Bagi yang beragama Islam, anda digalakkan beristighfar semasa melepaskan nafas, sebutkan "astagfirullah hal 'aziim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaik" dan tumpukan fikiran yang anda sedang memohon ampun daripada Allah. Insya Allah, biasanya jika diulang sebanyak 7 kali, anda akan kembali tenang.

2. Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk

Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

3. Membaca al-Quran, zikir dan selawat

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab.

Anda juga boleh meluaskan pembacaan anda kepada buku-buku ilmiah yang lain seperti buku-buku berkaitan agama, motivasi dan sebagainya untuk menghilangkan kesepian atau kesedihan. Ramai orang rekomen baca buku "Jangan Bersedih",

Anda juga boleh mengurangkan tekanan perasaan dengan berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walaubagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah SWT tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.

4. Cintai diri sendiri

"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

5. Banyakkan solat sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita dituntut membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat dhuha, solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajud dan sebagainya adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

6. Selalu berdoa kepada Allah SWT

Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita dituntut berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

7. Bersangka baik dengan Allah SWT

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan takdir-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

8. Mengurus masa dengan baik

Usahlah bersikap tamak untuk menghabiskan semua kerja dalam satu masa. Cuba patuhi waktu pejabat dan jangan terselalu membuat kerja lebih masa kerana setiap kita ada hak-hak yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara kemahiran pengurusan diri dan masa, seperti menetapkan keutamaan.

9. Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian

Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik menyatakan bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya". Sesungguhnya serigala hanya membaham kambing yang memencilkan dirinya dari kumpulan yang besar. Itu perumpamaan dari Baginda SAW mengenai peranan syaitan ke atas manusia. Jadi, ke mana sahaja seseorang itu pergi, dia harus mencari tiga perkara iaitu jamaah, orang ramai dan masjid.

Berbicaralah dengan mereka yang boleh anda dipercayai atau hubungi sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba luahkan ekspresi tanpa limitasi, tidak kira sama ada waktu sedih mahupun gembira, kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya. Bergaullah dengan orang-orang yang bukan dalam kemurungan.

10. Lakukan aktiviti luar rumah atau aktiviti fizikal

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu belajar atau bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan atau berenang. Jangan duduk diam dan berkurung dalam bilik sambil melayan lagu-lagu sedih yang menyayatkan jiwa hati, ini hanya menambahkan sebak di dada.

Lakukan apa saja akitiviti kecergasan, bersukan dapat menghasilkan hormon yang mampu melegakan tekanan perasaan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh, Insya Allah.

11. Aktiviti bersama alam

Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk diri memelihara alam. Anda juga menikmati ‘bird watching’, ‘nature walk’, berjalan di tepi pantai sambil mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium atau apa saja berkaitan dengan aktiviti alam semulajadi yang cukup mendamaikan bersama-sama ahli keluarga. Cuba gunakan keseluruhan deria untuk merasai kehadiran Allah SWT.

12. Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

Jaga makan dan tidur berlebihan. Sayangi badan anda, jangan mendera badan anda dengan tidur yang tidak mencukupi atau makan makanan yang tidak berkhasiat.

13. Jangan malu untuk ketawa

Bilakah kali terakhir anda memegang majalah Gila-Gila atau Gelihati? Anda boleh cubalah baca komik atau menonton cerita-cerita yang kelakar yang mampu membuat anda ketawa atau tersenyum.

14. Menangis dengan sepuas hati

Jika anda jenis yang "tidak boleh" gelak-ketawa sebab "terputus wayar:, maka cubalah menangis sepuas-puasnya. Ia mampu membuang jauh-jauh perasaan yang gundah gelana.

Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.

15. Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

16. Fokus kepada warna yang menenangkan

Kajian membuktikan bahawa warna memberi kesan kepada perasaan kita. Warna merah terang, oren dan kuning memberikan kita tenaga. Kombinasi warna merah dan kuning menyebabkan darah kita berkitar dan menaikkan suhu badan. Biru dan hijau memberi kesan menyejukkan dan menenangkan. Anda pasti boleh mengenalpasti warna dengan cara anda sendiri untuk mengubah perasaan yang anda mahukan.

17. Cuba hidu aroma yang menenangkan

Minyak pati aromaterapi lavender amat terkenal dengan aroma menenangkan. Anda boleh cuba hangatkan pati aromaterapi lavender atau dapatkan saja bau -bauan yang di gemari.

18. Hindari bunyi bising

Bunyi boleh memberi kesan kepada perasaan kita. Kita dilahirkan dengan perasaan yang tidak selesa kepada bunyi bising. Kebisingan juga boleh memberi tekanan dalam diri. Ia juga boleh menaikkan tekanan darah, mempercepatkan degupan jantung dan memberi kesan psikologi yang lain. Walau bagaimanapun bukan semua bunyi memberi kesan buruk. Muzik contohnya boleh memberi kesan yang baik kepada perasaan dan kesihatan diri kita.

Menurut kajian dari Avram Goldstein, muzik boleh menyebabkan otak mengeluarkan sejenis bahan penenang yang dinamakan endorfin. Muzik juga boleh menimbulkan pelbagai variasi perasaan. Justeru, jika anda rasa tertekan, dengarlah lagu-lagu kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.

19. Hadkan pengambilan ubat-ubatan

Ada sesetengah ubat-ubatan yang kita ambil mampu menyumbangkan mood swing yang kurang baik seperti kemurungan dan emosi tidak terkawal. Jika ia tidak perlu, anda boleh cuba elakkan pengambilan ubat-ubatan sebegini seboleh mungkin. Simpan ubatan di tempat yang susah sukar dicapai sekiranya anda berniat untuk mengambilnya dalam dos yang berlebihan. Jangan mengambil pil tidur tanpa preskripsi doktor.

20. Katakan tidak pada alkohol dan dadah

Elakkan dari mengambil alkohol dan dadah-dadah lain yang boleh mengakibatkan hilang pertimbangan anda. Mengambil sesuatu yang mengkhayalkan tidak akan membantu untuk menghilangkan tekanan, sebaliknya akan membuatkan anda menjadi ketagih dengannya.

21. Dapatkan sokongan sosial atau rujuk pakar

Cuba dapatkan bantuan kaunseling melalui ruangan kaunseling, NGO berkaitan atau boleh juga melalui telefon seperti talian "Befrienders" dan lain-lain. Sekiranya semua gagal, dapatkan bantuan pakar untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

sumber : Alam Informasi


No comments:

Post a Comment