Pages

Thursday 17 May 2012

SUSULAN KES DERA KANAK-KANAK - DICEKUP DIKEDAI MAKAN

KUALA TERENGGANU: Lelaki yang diburu polis kerana disyaki terbabit dalam kes dera kanak-kanak berusia dua tahun, Mohd Danish Aiman Abdullah, ditahan ketika dia keluar dari tempat persembunyiannya untuk makan tengah hari di kedai makan ibunya di Kampung Manir, di sini, semalam.

Suspek ditahan jam 2 petang ketika asyik menjamu selera terkejut apabila diserbu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Negeri yang ternampak kelibat lelaki itu. Suspek berusia 31 tahun itu dikehendaki polis sejak 20 April lalu kerana mendera Mohd Danish yang juga anak teman wanitanya sehingga kanak-kanak terbabit koma.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketika hendak ditahan, suspek enggan menyerah sebaliknya cuba melarikan diri ke belakang kedai makan berkenaan.

“Berikutan itu anggota polis terpaksa mengejarnya dan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, akibat pergelutan itu, suspek mengalami kecederaan pada kening kanan dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Manoharan berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah hari ini bagi membantu siasatan sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Melalui maklumat diperoleh daripada doktor, kanak-kanak terbabit bakal mengalami kecacatan fizikal dan otaknya seumur hidup akibat perbuatan suspek.

“Kami memandang serius kes ini dan mengkaji seksyen sesuai diambil bagi memberi pengajaran setimpal kepada suspek,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang 10 tahun atau kedua-duanya. Pada 20 April lalu, Mohd Danish dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri selepas didakwa dipukul suspek di rumah ibunya di Kampung Tualang, Manir.

Mohd Danish terpaksa menjalani dua pembedahan memasukkan tiub bagi penyaluran keluar air daripada kepalanya tetapi masih perlu menjalani beberapa siri pembedahan lagi termasuk memasang semula tempurung kepalanya.

Sebelum kejadian, Mohd Danish dan ibunya yang berusia 22 tahun dikatakan menumpang di rumah suspek selama tiga bulan sejak Januari lalu.

No comments:

Post a Comment