Pages

Thursday 23 February 2012

BABY WALKER : ADAKAH SELAMAT ??




Baby Walker vs Kehidupan Bekerja

Dalam kehidupan sekarang terutama bagi para ibu yang bekerja, mempunyai anak kecil adalah satu cabaran yang besar. Apa tidaknya di saat pulang dari kerja dan kepenatan, anak kecil pula meminta perhatian dan merengek minta didukung.

Untuk seketika mendukung anak kecil memberikan keseronokan kepada ibu untuk melepaskan rindu. Akhirnya tangan yang letih akan menyebabkan ibu tadi meletakkan semula anaknya.

Namun tangisan anak kebosanan bermain di lantai, membuat para ibu memikirkan bagaimana cara untuk mengalihkan perhatian anak dan dalam masa yang sama agar mereka dapat berehat.

Baby Walker adalah peralatan untuk para ibubapa meletakkan anak mereka di dalamnya untuk tujuan ini. Untuk jangka masa yang pendek tidak mengapa, namun jika Baby Walker menjadi gantian untuk ibubapa memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar untuk kanak-kanak itu mula belajar berjalan, ianya menjadi isu yang besar.

Ramai juga yang berpendapat bahawa Baby Walker membantu anak mereka belajar berjalan. Ini adalah satu tanggapan yang salah.

Saya amat bersetuju dengan Dr Muna yang mengatakan bahawa Baby Walker boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.


Baby Walker menyebabkan kemalangan dan kecederaan

Baby walker dicipta lebih 250 tahun yang lalu dengan tujuan agar bayi yang sudah mula merangkak boleh belajar berjalan.

Namun tanpa disangka, ianya telah mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Lebih14,000 orang kanak-kanak cedera kerana menggunakan Baby Walker setiap tahun di USA dan ada yang meninggal dunia disebabkan kecederaan kepala akibat jatuh dari tangga di dalam rumah.

Ianya telah diharamkan di Kanada. Kerajaan Kanada mengenakan denda sebanyak $100 000 atau enam bulan penjara jika rakyatnya didapati menyimpan alat itu.

American Academy of Paediatrician (AAP) tidak menggalakkan penggunaannya kerana ia boleh menyebabkan kecederaan. Antara kecederaan yang disenaraikan oleh AAP ialah jatuh dari tangga, terkehel pada jari tangan dan kaki, keracunan dan lemas.

Kecederaan yang disebabkan oleh Baby Walker bukan disebabkan oleh alat itu sendiri. Biasanya ia terjadi apabila kanak-kanak yang menggunakannya terlanggar kaki meja yang terhidang air panas, atau kanak-kanak itu dengan mudah mendekati soket elektik atau mencapai bahan yang beracun dan memasukkannya ke mulut.

Oleh itu pada tahun 1997, kerajaan di US telah menetapkan satu garis panduan di mana Baby Walkers mestilah mempunyai rekabentuk di mana ianya besar dan tidak boleh melepasi pintu atau mempunyai sistem brake.

Dr Brenda J. Shields dan Dr Gary A. Smith, dari Children’s Hospital di Columbus, Ohio, USA memberitahu selepas garis panduan ini dikuatkuasakan, terdapat penurunan kes kecederaan berkaitan Baby Walker sebanyak 75% . Ianya adalah penurunan yang significant.



► Mengapa Baby Walker tidak perlu?

Menurut Dr Brenda J Shield lagi, Baby Walker sebenarnya tidak membantu kanak-kanak untuk berjalan, malah melambatkan kanak-kanak itu belajar berjalan akibat perkembangan otot dan mental yang tidak dirangsang.

Berguling, duduk, merangkak dan bermain di lantai sebenarnya mengajar kanak-kanak asas untuk berjalan.

Kanak-kanak berkembang mengikut jangkamasa tertentu. Biasanya ia mula bertatih pada usia 8-12 bulan dan berjalan dari usia 10-15 bulan.

(Jika kanak-kanak itu masih tidak boleh berdiri di usia setahun, haruslah membawa berjumpa dengan pakar paediatrician untuk mendapat nasihat).

Untuk berjalan, kanak-kanak dikawal oleh dua sistem di dalam otaknya yang dikenali sebagai sistem perasa (sensory) dan sistem motor (otot pergerakan). Penglihatan dan perimbangan kanak-kanak ini akan mengawal pergerakan kaki dan cuba mengekalkan kedudukan dan imbangan bila berjalan.

Apabila kanak-kanak itu semakin membesar, perubahan fizikal amat ketara – kaki bertambah panjang, bahu semakin melebar dan kepala semakin mengecil secara nisbah berbanding dengan badan- menyebabkan kanak-kanak itu mudah mengimbangi badan ketika berdiri dan berjalan.

Untuk berjalan, kanak-kanak itu perlu berlatih, iaitu berdiri dan dan melangkah perlahan-lahan. Dengan itu ia merangsangkan secara tidak langsung perkembangan otot (motor) dan perasa (sensori).

Bagaimana Baby Walker tidak membantu kanak-kanak berjalan awal?

Kebanyakan rekabentuk Baby Walker menghalang penglihatan kanak-kanak itu melihat kaki mereka ketika menggunakannnya. Ia akan memperlahankan pertumbuhan pergerakannya kerana penglihatan tidak dapat menghubungkan rangsangan ke otak dan kaki mereka. Oleh itu mereka tidak dapat mempelajari imbangan badan dan kemahiran berjalan.

Satu kajian menunjukkkan kanak-kanak yang menghabiskan masa selama 2 jam setiap hari menggunakan Baby Walker mengalami masalah perkembangan yang lambat berbanding dengan kanak-kanak yang tidak menggunakan Baby Walker.



► Baby Walker menyebabkan gaya jalan yang cacat ?

Kaki kanak-kanak menjadi tidak lurus ketika berjalan di dalam Baby Walker. Punggung dan lututnya membengkok dan kanak-kanak itu mungkin berjalan menggunakan jari kakinya (tiptoe). Akibatnya otot kaki yang salah digunakan untuk berjalan. Gaya jalan yang sebegini amat sukar untuk ditukarkan apabila ianya tidak lagi memakai Baby Walker dan meneruskan gaya berjalan sebegini.

Gunakannya dengan cara yang selamat

Untuk mengharamkannya di Malaysia adalah menjadi suatu mustahil. Tiada kajian atau rekod yang dicatatkan tentang jumlah kecederaan yang diakibatkan oleh penggunaan Baby Walker.

Apa yang penting sekarang ialah memastikan penggunaannya selamat. Harus diketahui pergerakan Baby Walker amat laju, dianggarkan sejauh satu meter dalam sesaat.

Maka ibubapa harus memastikan supaya peralatan dan perkakas dalam rumah selamat dan jauh dari kanak-kanak untuk mencapainya.

Antaranya ialah pastikan soket eletrik dan perabot yang mempunyai bucu tajam, semua bahan-bahan kimia dan racun seperti pencuci lantai dan sabun basuh serta hiasan yang berat dan mudah pecah.

Jangan membawa air atau makanan panas dekat dengan kanak-kanak dan jauhkan mereka dari dapur, pemanas atau barang-barang elektrik.

Kunci bilik yang tidak digunakan supaya kanak-kanak tidak masuk ke dalam garaj, bilik kosong atau stor.

Pastikan anda membeli Baby Walker yang mempunyai reka bantuk yang baru di mana ianya lebih besar dan tidak boleh melepasi pintu dan mempunyai sistem brek yang boleh dikunci agar kanak-kanak itu tidak bergerak tanpa pemerhatian kita.

Walaubagaimanapun saya secara peribadi tidak mengesyorkan ibubapa membuang Baby Walker itu, cuma menasihatkan agar para ibubapa berhati-hati apabila meletakkan anak mereka dalam alat itu.

Namun sekali lagi AAP selalu memberitahu bahawa “Baby Walker adalah tidak selamat digunakan, walaupun di bawah pemerhatian orang dewasa”


sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad
- gambar sekadar hiasan.



No comments:

Post a Comment